Menjelang Ulang Tahun Ke-20 Girls' Generation, Yuri Umum Tinggalkan SM Entertainment

(Seoul, 1 Ogos) Anggota Girls' Generation, Yuri, mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan SM Entertainment selepas hampir 19 tahun bersama syarikat tersebut. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan aktiviti kumpulan yang bakal menyambut ulang tahun penubuhan ke-20 pada tahun hadapan.
SM Entertainment memaklumkan bahawa kontrak eksklusif Yuri akan tamat secara rasmi pada 31 Ogos. Selepas melalui beberapa siri perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak memperbaharui kontrak, sekali gus menamatkan kerjasama yang terjalin sejak beliau memulakan kerjaya.
Dalam kenyataannya, SM menyatakan penghargaan atas perjalanan panjang bersama Yuri, yang berkembang daripada anggota salah satu kumpulan K-pop paling berpengaruh kepada artis serba boleh dalam bidang muzik dan lakonan. Syarikat itu turut mendoakan kejayaan Yuri dalam fasa baharu kerjayanya.
Walaupun tidak lagi berada di bawah pengurusan SM Entertainment, syarikat itu menegaskan bahawa Yuri akan terus menyertai aktiviti Girls' Generation pada masa akan datang, sekali gus melegakan peminat yang menantikan sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan tersebut.
Yuri turut memuat naik mesej penghargaan di media sosial, mengucapkan terima kasih kepada SM Entertainment, kakitangan yang pernah bekerja bersamanya serta para peminat yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang hampir dua dekad kerjayanya. Beliau berkata kini bersedia memulakan perjalanan baharu dengan semangat yang lebih segar.
Dengan keputusan itu, Yuri menjadi anggota kelima Girls' Generation meninggalkan SM Entertainment selepas Tiffany, Sunny, Sooyoung dan Seohyun. Sementara itu, Taeyeon, Yoona dan Hyoyeon masih kekal bersama SM, manakala aktiviti kumpulan terus dinanti-nantikan oleh peminat di seluruh dunia.